Sahabat..
Apa salahnya menangis, jika memang dengan menangis itu membuatkan manusia
menjadi sedar. Sedar akan kelemahan-kelemahan diri, disaat tiada lagi yang
sanggup menolong dari kesusahan selain Allah Swt. Kesedaran yang membawa kepada
manfaat dunia dan akhirat.
Bukankah hati manusia tidak pernah stabil?
Selalu berbolak – balik menurut keadaan yang dilalui.
Apabila seseorang menghadapi kebahagiaan, maka hatinya akan gembira. Dan saat
dilanda musibah, banyak orang yang berputus asa lalu berpaling dari kebenaran.
Sebahagian orang menganggap menangis itu adalah sesuatu yang hina, ia merupakan
tanda lemahnya seseorang. Bangsa Yahudi selalu marah apabila anaknya menangis
kerana dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Orang Jepun akan
memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak tabah menghadapi
hidup. Menangis adalah sesuatu yang hanya dilakukan oleh mereka yang tidak
mempunyai prinsip hidup.
Bagi seorang muslim yang mukmin, menangis merupakan sebuah kelembutan hati dan
petanda kepekaan jiwanya terhadap peristiwa yang menimpa dirinya mahupun
umatnya.
Rasulullah SAW menitiskan air matanya ketika anaknya Ibrahim, meninggal. Abu
Bakar selalu digelarkan oleh anaknya Aisyah sebagai Rajulun Bakiy (Orang yang
selalu menangis).
Beliau sentiasa menangis, dadanya bergolak semasa solat dibelakang Rasulullah
SAW kerana mendengar ayat-ayat Allah. Abdullah bin Umar pada suatu ketika
melewati sebuah rumah yang didalamnya ada seseorang sedang membaca Al Qur’an.
Ketika sampai pada ayat: “Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta
alam” (QS. Al Muthaffifin: 6). Pada saat itu beliau diam, berdiri tegak dan
merasakan dirinya seakan-akan sedang menghadap Tuhan, kemudian beliau menangis.
Lihatlah betapa Rasulullah SAW dan para sahabatnya benar-benar memahami dan
merasakan getaran-getaran keimanan dalam jiwa mereka. Lembutnya hati
mengantarkan mereka kepada darjat hamba Allah yang peka.
Bukankah diantara tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada
hari dimana tiada naungan kecuali naungan Allah, adalah orang yang berdoa
kepada Rabbnya dalam kesendirian sambil menitiskan air mata? Tentunya begitu
sukar menitiskan air mata sewaktu berdoa jika hati seseorang itu tidak lembut.
Yang biasa dilakukan manusia dalam kesendirian adalah maksiat. Bahkan banyak
manusia yang bermaksiat apabila bersedirian didalam bilik. Seorang mukmin
sejati akan menangis dalam kesendirian dikala berdoa kepada Tuhannya. Sedar
betapa beratnya tugas hidup yang harus dipikulnya di dunia ini.
Di zaman ketika manusia lalai dalam gemerlap dunia, seorang mukmin akan
sentiasa menjaga diri dan hatinya. Menjaga kelembutan dan kepekaan jiwanya. Dia
akan mudah menitiskan air mata demi melihat kehancuran umatnya. Kesedihannya
begitu mendalam.
Kita tidak akan melihat seorang mukmin bersenang-senang dan bersuka ria ketika
jirannya mengalami kesedihan, ditimpa berbagai ujian, cubaan, dan fitnah.
Mukmin yang sebenar akan dengan bersedia membantu meringankan segala beban
saudaranya. Ketika seorang mukmin tidak mampu menolong dengan tenaga ataupun
harta, dia akan berdoa memohon kepada Tuhan semesta alam.
Menangis merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran. “Dan apabila
mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada rasul (Muhammad), kamu lihat
mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah
mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri) seraya berkata: “Ya Rabb kami,
kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi
(atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad)”. (QS. Al Maidah: 83).
Ja’far bin Abdul Muthalib membacakan surat Maryam ayat ke-16 hingga 22 kepada
seorang raja Nasrani yang bijak. Mendengar ayat-ayat Allah dibacakan,
bercucuranlah air mata raja Habsyah itu. Dia mengakui benarnya kisah Maryam
dalam ayat tersebut, dia telah mengenal kebenaran itu dan hatinya yang lembut
menyebabkan matanya sembab kemudian menangis. Raja yang rindu akan kebenaran
benar-benar merasakannya.
Orang yang keras hatinya, akan sulit menangis apabila dibacakan ayat-ayat
Allah. Bahkan ketika datang teguran dari Allah sekalipun, dia akan tertawa atau
malah berpaling dari kebenaran. Sehebat manapun bentuk penghormatan seorang
tokoh munafik Abdullah bin Ubay bin Salul kepada Rasulullah Saw, sedikit pun
tidak berpengaruh pada hatinya. Dia tidak peduli ketika Allah Swt mengecam
keadaan mereka di akhirat nanti, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu
(ditempatkan) pada tingkatan neraka yang paling bawah. Dan kamu sekali-kali
tidak akan mendapatkan seorang penolongpun bagi mereka”. (QS. An Nisa’: 145)
Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah disaat
membaca Al Qur’an, menangislah ketika berdoa di sepertiga malam terakhir,
menangislah kerana melihat keadaan umat yang hancur, atau tangisilah dirimu
kerana tidak dapat menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah.
Semoga dapat melembutkan hati kita. Ingatlah hari ketika
manusia banyak menangis dan sedikit tertawa kerana dosa-dosa yang dibuatnya
selama di dunia. “Maka mereka sedikit tertawa dan banyak menangis, sebagai
pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan”. (QS At Taubah: 82).
Jadi apa salahnya menangis, sahabat hati?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan